KUALA LUMPUR – Dalam menjejak usia 24 tahun, Muhammad Hanif Zakaria telah mencipta sejarah tersendiri apabila diberi kepercayaan menjadi imam solat Terawih di sebuah masjid Manukau Islamic Youth Centre di Auckland, New Zealand.
Pelajar Fakulti Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berlepas dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) ke bumi New Zealand pada 26 Februari lalu.
Pemuda kelahiran Kelantan yang mengikuti pengajian dalam program Qiraat ini menyifatkan pemilihannya sebagai satu kejutan kerana persaingan yang sengit dalam sesi temuduga.
“Saya terkejut tetapi sangat bersyukur. Ini peluang keemasan, sekali seumur hidup,” katanya ketika dihubungi.
Berbekalkan keazaman dan semangat tinggi, Hanif memulakan tugasnya sebagai imam terawih bermula 2 Mac hingga 26 Mac.
Selain memimpin solat, beliau turut mengajar al-Quran kepada jemaah setempat menjadikan pengalamannya di bumi Auckland lebih bermakna.

Bertugas di negara asing bukan sesuatu yang mudah kerana Hanif perlu memastikan hafazannya lancar bagi memimpin solat dengan sempurna.
Selain itu, beliau turut menguruskan keperluan dokumentasi seperti visa dan pasport, memandangkan kemasukan ke New Zealand mempunyai syarat ketat.
“Saya juga mempraktikkan bertutur dalam bahasa Inggeris untuk memudahkan komunikasi di sana,” katanya.
Ini merupakan pengalaman pertamanya di pentas antarabangsa menjadikan tanggungjawab ini lebih mencabar namun penuh dengan pelajaran berharga.
Sebagai wakil pertama USIM yang berkhidmat di New Zealand, Hanif berharap penglibatannya menjadi pembuka jalan kepada pelajar lain pada masa akan datang.
“Saya mahu menjadi perintis. Semoga selepas ini lebih ramai pelajar USIM dapat berkhidmat di sini dan kerjasama antara USIM dan masjid di New Zealand dapat diteruskan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Hanif tidak lupa pesanan ibu bapanya yang juga pesara guru agar menjaga diri, menghormati masyarakat setempat dan membawa nama baik keluarga serta USIM di peringkat antarabangsa.
Kisah inspirasi Muhammad Hanif membuktikan bahawa ilmu al-Quran tidak mengenal sempadan. Dari Kota Bharu ke Auckland, beliau kini menggalas amanah besar menyebarkan syiar Islam di bumi asing.- MalaysiaGazette