KENYATAAN Amanah Terengganu berkenaan isu monopoli BERNAS.

KUALA LUMPUR – Implikasi daripada cadangan untuk memecah monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam pengimportan dan pengedaran beras negara perlu diperhalusi sebelum sebarang tindakan drastik mengenainya dibuat.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, ia termasuk dari segi kesan yang perlu ditanggung kerajaan sekiranya konsesi BERNAS ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang telah dipersetujui.

Jelas beliau, seperti yang termaktub di dalam perjanjian, pembatalan sebelum tamat tempoh boleh mengundang tindakan undang-undang dan tuntutan pampasan yang tinggi terhadap kerajaan.

Jelasnya, ia bermakna wang rakyat terpaksa digunakan untuk membayar ganti rugi yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk program bantuan kepada pesawah dan pengguna.

“Selain itu, kita juga perlu mengambil kira kesan rantaian terhadap bekalan beras negara.

“BERNAS bukan sahaja menguruskan import tetapi juga bertanggungjawab terhadap stok penimbal serta pembelian padi daripada pesawah.

“Jika monopoli ini dimansuhkan tanpa satu mekanisme kawal selia yang kukuh, ada risiko berlakunya ketidaktentuan harga dan kekurangan bekalan, yang akhirnya akan membebankan pengguna sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali menghidupkan semula cadangan untuk memecahkan monopoli yang dipegang oleh BERNAS dan menggalakkan pemain industri baharu yang lain.

Malah, Wan Muhammad menambah, BERNAS sebagai satu-satunya pihak yang mengawal import dan pengedaran beras perlu distruktur semula bagi memastikan ia tidak menghalang persaingan sihat dalam industri.

Sementara itu, Muammar Qaddafi berkata, cadangan tersebut juga tidak boleh mengetepikan kesan terhadap petani khususnya dalam memastikan harga lantai padi terus stabil yang mungkin tidak berlaku sekiranya sistem pembelian padi tidak ditangani dengan baik selepas pembatalan monopoli.

Selain itu, ujar beliau, persoalan berkenaan pihak yang akan menjamin pesawah kecil tidak terpinggir dalam persaingan dengan syarikat besar juga antara yang perlu dipertimbangkan dalam cadangan tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kebimbangan yang dilontarkan Pemuda UMNO berhubung isu monopoli beras oleh BERNAS tersebut bukan baharu sebaliknya ia merupakan dasar yang dibuat ketika era Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan.

“Justeru, penyelesaian kepada isu beras ini harus bersifat menyeluruh dan bukan sekadar polemik politik.

“Jika benar niat Pemuda UMNO mahu membantu rakyat, kerjasama dan cadangan yang konstruktif adalah lebih bermakna berbanding sekadar mencari kesalahan.

“Apa jua tindakan yang diambil, ia mestilah dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat secara holistik dan bukan sekadar mencari keuntungan politik semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here