Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan menjadikan orang miskin bertambah miskin, manakala orang kaya semakin kaya.

Menurut beliau,  melalui RUU URA golongan yang memiliki modal dan kaya akan menggunakan tanah orang miskin yang dijual bagi menambahkan lagi aset yang dimiliki kumpulan itu.

“Apa terjadi kepada tanah orang miskin yang telah dijual? Orang kaya akan bangunkan tanah dengan kedai dan rumah mewah. Dengan itu nilai tanah akan meningkat.

“Si miskin akan lihat dengan putih mata tanah yang telah dijual menguntungkan pembeli yang kaya. Maka yang miskin jadi lebih miskin. Yang kaya lebih kaya. Tak cakap pasai 3R,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.

Bekas Perdana Menteri itu sekali lagi mendakwa RUU URA akan menyebabkan orang miskin terpinggir di luar bandar sementara golongan berharta akan akan memiliki seluruh kawasan bandar.

“Dalam mana-mana masyarakat terdapat puak yang miskin dan puak yang kaya. Yang miskin selalu kekurangan duit. Jika ada apa-apa harta, gadai harta untuk dapat duit.

“Jika si miskin memiliki sebidang tanah seluas kangkang kera pun untuk dapat duit, jual tanah. Siapa yang beli? Orang kaya yang beli.

“Tiap hari berpuluh ekar tanah milik orang miskin dalam dan luar bandar dijual pada orang kaya. Orang miskin terpinggir di luar bandar. Dan orang kaya akan memiliki seluruh bandar. Undang-undang pembaharuan bandar akan percepat proses ini,” kata Dr. Mahathir.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka membentangkan RUU URA pada sesi Parlimen Julai ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, RUU itu ketika ini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Setelah mendapat kelulusan Jabatan, RUU ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan pada Mac diikuti dengan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan pada Mei ini,” katanya.

Menurut beliau, RUU itu menekankan prinsip-prinsip yang telah digariskan terutamanya dalam memastikan tiada pihak yang akan tertindas dalam proses pembaharuan semula bandar.

Ia juga mengandungi peruntukan khas bagi melindungi hak dan kepentingan pemilik untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak pemilikan, serta proses dan prosedur pembaharuan semula bandar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here