KUALA LUMPUR – Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh ketegasan kerajaan untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang menghina agama tanpa `pilih kasih’ selaras dengan peruntukan undang-undang negara.
Menterinya, Datuk Dr, Mohd Na’im Mokhtar berkata, proses siasatan dan pendakwaan kes-kes penghinaan Islam sebelum ini menunjukkan kepentingan awam diambil kira bagi menjaga keharmonian negara.
Ujar beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri bagi memastikan kes penghinaan Islam dibawa ke muka pengadilan.
“Agensi-agensi di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tindakan diambil tanpa pilih kasih,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Na’im, mana-mana pihak yang menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
Ujar beliau, perbuatan segelintir pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini hingga mencetuskan kegelisahan awam amat dikesali.
“Semua pihak diseru untuk menghormati undang-undang serta proses siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa demi kepentingan negara,” ujarnya.
Beliau berkata, agensi-agensi di bawah seliaannya sentiasa konsisten memelihara kesucian agama Islam serta menjaga keharmonian dalam konteks kemajmukan masyarakat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sedang menyiasat sebuah video yang tular di laman sosial sejak kelmarin yang didakwa menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang mengenal pasti individu iaitu pemilik akaun ‘Vijayan Savarinathan’ ekoran video berdurasi selama lebih tiga minit itu dimuat naik dalam laman Facebook. – MalaysiaGazette