KUALA LUMPUR – Wanita MIC Kebangsaan menyuarakan kebimbangan serius terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh pendakwah Islam, Zamri Vinoth yang didakwa berbaur provokasi dan mengganggu keharmonian masyarakat.
Ketuanya, N Saraswati menegaskan, kenyataan sedemikian bukan sahaja mencetuskan ketegangan tetapi turut menjejaskan emosi serta kesejahteraan wanita pelbagai kaum di negara ini.
“Kenyataan provokatif seperti ini menimbulkan keresahan khususnya dalam kalangan wanita, dan mengganggu kehidupan harian mereka yang hidup dalam suasana harmoni,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.
Sehubungan itu, Saraswati yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap individu berkenaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau turut menekankan bahawa insiden ini berlaku dalam bulan Ramadan, satu bulan yang menekankan nilai kesabaran, hormat-menghormati dan keharmonian.
“Kita seharusnya menggunakan kesempatan ini untuk memperkukuhkan hubungan antara kaum dan bukannya mencetuskan perpecahan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan laporan polis telah dibuat oleh sayap wanita MIC di empat negeri setakat ini, iaitu Johor, Terengganu, Perak dan Selangor dan dijangka lebih banyak laporan akan menyusul daripada negeri-negeri lain. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Mengapa hantaran Zamri di FB tak diturunkan, disekat? – Rayer