PASIR GUDANG – Seramai 43 penumpang dan seorang pemandu bas pekerja berdepan detik cemas selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Pasir Gudang di sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu yang berlaku berhampiran KPJ Pasir Gudang pada pukul 8.44 malam.
“Sebaik menerima panggilan tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan tujuh anggota bomba dihantar ke lokasi.
“Setibanya pasukan kami di tempat kejadian lima minit kemudian didapati kemalangan melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace dan sebuah bas pekerja jenis Hino.
“Terdapat seramai 44 penumpang dalam bas berkenaan termasuk seorang pemandu warga emas berusia 60 tahun yang dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, pemandu van berkenaan iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 50-an mengalami kecederaan dan tersepit di bahagian pemandu.
Katanya, PKO kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan bagi menerima rawatan lanjut.
Menurut Haizrul, operasi berakhir pada pukul 9.42 malam.
Pihak bomba katanya, menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutama di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.- MalaysiaGazette