Foto SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Pimpinan Tertinggi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memutuskan jawatan Presiden parti itu yang ditinggalkan Datuk Peter Anthony akan digalas anaknya yang juga Timbalan Presiden, Priscella Peter.

Priscella akan dibantu seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Wetrom Bahanda yang sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya KDM.

Setiausaha Agung KDM, Willie Jude berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat Pimpinan Tertinggi KDM yang dipengerusikan Wetrom, di ibu pejabat parti itu, di Penampang, Sabah, semalam.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat demi kebaikan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN-17) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Keputusan ini dibuat sebulat suara dan dengan penuh permuafakatan, kerana kami sebenarnya sudah membuat perancangan awal sekiranya apa-apa berlaku termasuk hal yang berkaitan dengan kes Datuk Presiden (Peter Anthony).

“Ia juga sesuai dengan peranan Priscella sebagai salah sorang pengasas parti dan Datuk Wetrom juga menyokong penuh keputusan ini, malah beliau sendiri yang mencadangkan.

“Kami masing-masing mempunyai peranan dalam parti dan saya yakin dengan hubungan kami yang sudah seperti satu keluarga, kami mampu hadapi setiap rintangan yang ada selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Priscella, 27, merupakan pemegang Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang perakaunan dari Universiti Curtain Australia.

Sementara itu, Willie berkata, mesyuarat semalam turut memutuskan KDM kekal dengan pendirian sebelum ini, iaitu untuk bertanding solo pada PRN-17.

Katanya, segala perancangan parti termasuk yang dibuat oleh Peter sebelum ini juga akan diteruskan.

“Perjuangan diteruskan, kami tidak akan berundur walau setapak pun, ini perjuangan untuk Sabah, untuk rakyat,” katanya.

Selasa lalu, Mahkamah Rayuan di sini menolak rayuan terakhir Peter untuk mengetepikan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 bagi pemalsuan dokumen dan memerintahkannya menjalani hukumannya serta-merta.

Hukuman itu bermakna Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkenaan bakal kehilangan kerusi dan tidak layak bertanding pada PRN-17. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here