Subbarow menunjukkan gula-gula berbentuk vape dan jarum suntikan yang dijual pasaran tempatan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula berbentuk vape dan jarum suntikan yang kini semakin berleluasa di pasaran tempatan.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, pihaknya bimbang trend ini akan mempengaruhi kanak-kanak seawal usia tiga tahun untuk terbiasa dengan imej merokok dan penggunaan dadah.

“Berdasarkan tinjauan di pasaran gula-gula ini direka dengan pelbagai warna  menyerupai peranti vape, rokok dan malah picagari yang digunakan oleh penagih dadah.

“Di sebalik reka bentuk yang menyeronokkan itu, wujud ancaman tersembunyi yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada generasi muda yang boleh menjadi punca kepada tabiat merokok dan ketagihan vape di kemudian hari.

CAP gesa haramkan penjualan gula-gula berbentuk vape dan jarum suntikan.

“Kanak-kanak yang membeli gula-gula ini mungkin tidak memahami kesannya, tetapi secara tidak langsung mereka sedang diajar untuk membiasakan diri untuk mencuba produk sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Subbarow, lebih membimbangkan, pemilik kedai mendedahkan ramai ibu bapa tanpa sedar membeli gula-gula ini untuk anak-anak mereka yang meminta sendiri kerana tertarik dengan reka bentuknya.

“Justeru, kita  menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk bertindak segera mengharamkan penjualan gula-gula berbentuk vape dan jarum suntikan ini.

“Langkah tegas perlu diambil sebelum lebih ramai kanak-kanak terdedah kepada budaya merokok dan penyalahgunaan dadah sejak usia muda.

“Kita turut menyeru masyarakat, khususnya ibu bapa untuk lebih peka terhadap jenis gula-gula yang dibeli oleh anak  mereka dan mendesak pihak berkuasa memperketatkan kawalan terhadap produk yang berpotensi memberi kesan buruk kepada generasi masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast