Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan anugerah kepada penerima pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 08 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan melancarkan Dasar Wanita Negara 2025-2030 bertujuan mengisi kekurangan dasar terdahulu selain memperkukuh lagi aspek perlindungan terhadap wanita daripada keganasan rumah tangga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dasar tersebut yang dilancarkan hari ini membantu kaum wanita yang terkesan dengan keganasan rumah tangga melalui pengukuhan penguatkuasaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memegang buku Dasar Wanita Negara pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 08 MAC 2025

Menurut beliau, dasar baharu itu bakal menambah baik dan menutup kekurangan dasar terdahulu memandangkan wujud peningkatan kes.

“Perlu ada pelaksanaan dari segi pengkuatkuasaan hukuman terhadap pelaku keganasan rumah tangga,” ujar beliau kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melancarkan dasar berkenaan.

Sementara itu, ketika berucap, Nancy berkata, kerjasama majikan dengan bersikap lebih fleksibel dengan menyediakan dasar mesra keluarga, membantu wanita memupuk kerjaya.

Menurut beliau, penyertaan wanita dalam tenaga kerja kekal rendah pada tahap 56.2 peratus kerana mereka terpaksa berhenti kerja selepas berkahwin atau melahirkan anak.

“Kerajaan telah menetapkan sasaran kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja pada 60 peratus sebagai usaha memastikan wanita mempunyai akses kepada peluang ekonomi yang adil dan setara,” ujarnya.

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 bertemakan ‘Wanita Beraspirasi, Membina Legasi’ itu turut menyaksikan penglibatan kementerian melaksanakan aktiviti prasambutan di peringkat zon.

Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Kasih Wanita kepada empat individu mengikut kategori berdasarkan sumbangan serta jasa mereka terhadap masyarakat.

Penerima Anugerah Kasih Wanita Bakti diberikan kepada Pengasas Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed manakala bekas pesakit skizofrenia, Nor Kamariah Mohd Khalid Lourdes Lid pula menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal.

Anugerah Kasih Wanita Harmoni diberikan kepada bekas anggota polis Jennifer Atok dan Anugerah Kasih Wanita Komuniti diterima guru Orang Asli Amira Yoke Bes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here