Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Debat ang dirancangkan antara Timbalan Presiden MIC, M Saravanan dengan Zamri Vinoth pada 23 Mac ini tidak wajar diteruskan kerana dibimbangi akan lebih mempertajamkan lagi soal perbezaan antara agama dan bukan mencari perdamaian seperti yang diharapkan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berpendapat, terdapat golongan yang mengambil kesempatan atas isu tersebut demi kepentingan mereka dalam mendapatkan perhatian masyarakat teramai dalam negara ini.

“Sehubungan dengan itu, Amanah Johor mengharapkan agar kerajaan lebih bertindak agresif dalam menyekang kegiatan adu domba dalam isu perpecahan kaum ini agar negara berada dalam perpaduan dan keharmonian yang baik.

“Amanah Johor juga berpendapat golongan yang sengaja mempertajamkan isu ini harus dikenakan tindakan tegas demi menjaga keharmonian hidup pelbagai kaum dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Amanah Johor mengambil maklum berkenaan dengan isu yang membabitkan pertikaian antara agama tersebut yang dilihat seolah tidak selesai.

Amanah melihat terdapat beberapa faktor yang mengakibatkan hal tersebut semakin hangat diperkatakan sehingga menimbulkan kebimbangan serta ketidakstabilan hidup pelbagai kaum dalam negara ini, katanya.

“Antara faktor yang dapat dikesan adalah berkenaan dengan ‘batu api’ dari pelbagai pihak yang memainkan isu perkauman demi kepentingan diri mereka sendiri sehingga ia menimbulkan debat yang berlarutan,” ujarnya.

Semalam Saravanan menetapkan tarikh debat dengan Zamri berikutan kenyataan kontroversi pendakwah bebas itu yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, debat tersebut akan dianjurkan oleh Dewan Bahasa Tamil Malaysia.

“Saya mengambil maklum kamu telah menerima cabaran debat ini. Topiknya adalah mudah, kamu sebelum ini mendakwa bahawa ‘Hindu yang mengangkat kavadi sebut Vel Vel sambil menari seperti dirasuk dan dalam keadaan mabuk todi’. Mungkin kamu tidak ada pengetahuan dalam bab ini,” katanya dalam hantaran Facebook.

Saravanan menambah, Zamri bebas memilih mana-mana lokasi di Kuala Lumpur untuk acara debat tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here