KUALA LUMPUR – Genap 11 tahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 hari ini, Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk menyambung semula pencarian pesawat tersebut.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan berkata, ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu, yang menerima cadangan daripada Ocean Inifinity (United Kingdom) untuk memulakan operasi pencarian di kawasan baharu.
Katanya, ia meliputi kawasan seluas kira-kira 15,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi, berdasarkan prinsip `no find no fee’ (tiada penemuan, tiada bayaran).
“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneliti setiap petunjuk yang boleh dipercayai dengan harapan untuk menemui lokasi terakhir MH370, sekali gus memberikan jawapan yang amat diperlukan oleh keluarga mangsa,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, menyedari perhatian tinggi orang awam terhadap usaha pencarian baharu tersebut, kerajaan sedang giat memuktamadkan perjanjian berkenaan selaras dengan prosedur Kerajaan Malaysia.
Sebagai sebahagian kemajuan dalam pencarian itu, katanya, United States National Transportation Safety Board (NTSB) dan Australian Transport Safety Bureau (ATSB) masing-masing telah melantik wakil bertauliah untuk memberikan bantuan teknikal bagi misi terbabit.
Jelasnya, kerjasama semua pihak amat bermakna dalam usaha pencarian berterusan itu, yang kekal sebagai salah satu operasi paling kompleks dan mencabar dalam sejarah penerbangan.
“Bagi keluarga penumpang dan anak kapal MH370, masa tidak mengurangkan kesedihan mendalam serta ketidakpastian yang terus mereka hadapi.
“Pada hari peringatan hari ini, kami merakamkan simpati yang mendalam kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH370.
“Usaha untuk mencari jawapan dan memberikan penutupan buat mereka akan diteruskan,” katanya.
Pada 8 Mac 2014, penerbangan itu berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, namun pesawat itu kemudiannya tidak dapat dikesan sehingga kini.
Usaha pencarian awal Ocean Infinity yang bermula pada Januari 2018 meliputi kawasan seluas 25,000km persegi di selatan Lautan Hindi yang tamat pada Jun 2018, berakhir tanpa sebarang penemuan. – MalaysiaGazette