JOHOR BAHRU – Tiada kes penularan wabak kusta dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) setakat ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mokhtar Pungut berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga dan menjalankan pemantauan rapi bagi mengawal sebarang kemungkinan.
“Sehingga kini, tiada laporan mengenai penyebaran wabak kusta di Johor. Namun, JKNJ akan terus memantau keadaan semasa dengan teliti.
“Buat masa ini, tiada keperluan untuk tindakan drastik atau intervensi khas. Sekiranya terdapat arahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), langkah pencegahan sewajarnya akan diambil segera,” katanya selepas meninjau bazar Ramadan di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.
Minggu lalu, lima kes kusta dilaporkan di beberapa daerah di Selangor sehingga 20 Februari. Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, dua kes dikesan pada Januari di Hulu Langat dan Sepang, manakala tiga lagi kes bulan ini di Gombak, Hulu Selangor, dan Kuala Langat.
“Daripada lima kes ini, tiga adalah warga tempatan termasuk seorang daripada komuniti Orang Asli,” katanya.
Pada 19 Februari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, memaklumkan seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun meninggal dunia akibat jangkitan kusta, sementara lapan lagi penduduk Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur, Kuala Pilah masih dalam rawatan.
Menurut beliau, penularan wabak itu mula dikesan pada 2 Januari selepas sembilan penduduk di kawasan berkenaan dijangkiti kusta, lima dari Kampung Orang Asli Chergun dan empat dari Kampung Guntur.
“Mangsa meninggal dunia di rumahnya selepas mengalami demam selama seminggu, manakala yang lain diarah menjalani kuarantin di kediaman masing-masing,” katanya.- MalaysiaGazette