Nur Jazlan (tengah) bersama mahasiswa dalam Program Outreach Ihya Ramadan, dialog dengan mahasiswa, agihan bubur lambuk dan program berbuka puasa di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru petang semalam.

JOHOR BAHRU – Malaysia tidak mengamalkan kebebasan bersuara secara total seperti di barat dan tindakan terhadap tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempersendakan upacara agama Hindu diambil kerana menyentuh sentimen agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tindakan tersebut perlu kerana sudah melampaui batas dan tidak boleh sewenang-wenangnya dipandang remeh kerana terikat dengan undang-undang dan mahu membendung isu berkaitan 3R.

“Kalau hendak buat lawak pun jangan sampai sensitiviti kaum di sentuh, (tindakan terhadap tiga penyampai radio Era FM) jadi pengajaran. Akhirnya kalau mereka dikenakan tindakan ia menjadi satu pengajaran untuk yang lain (supaya) jangan buat.

“Kena faham batasan sebab itu kadang-kadang kalau kita hendak ikut cara barat free speech, boleh cakap apa pun, dekat Malaysia tidak boleh, kita ada 3R, kita ada akta hasutan, semata-mata untuk menjamin keamanan antara kaum dan agama di negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sidang akhbar pada Program Outreach Ihya Ramadan, dialog dengan mahasiswa, agihan bubur lambuk dan program berbuka puasa di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini petang semalam.

Terdahulu, media melaporkan penyampai radio 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani, memohon maaf di atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi iaitu upacara suci penganut Hindu ketika Thaipusam.

Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.

Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu.

Susulan itu enam individu termasuk tiga penyampai radio Era FM hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkait isu video tular mempersenda upacara agama tersebut.

Setakat ini, 44 laporan polis dibuat di seluruh negara berkaitan isu video terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, semakan polis mendapati rakaman video itu sudah ditonton 95,400 kali dan turut dikongsi 204 pengguna di media sosial, namun hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati video itu sudah pun dipadamkan pihak stesen radio berkenaan.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, tindakan perlu diambil pihak berkuasa seiring dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kerajaan menerusi penguat kuasa perlu menguatkuasakan undang-undang, soal tindakan berat atau tidak, itu dari pandangan mata kita.

“Asalkan pada akhirnya ia tidak menjadi satu pencetus kepada satu budaya dalam media sosial,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast