ALOR GAJAH – Seorang pemandu lori tangki minyak berdepan detik cemas apabila kenderaannya terbalik ketika membelok di lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Mutiara, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.10 petang itu, pemandunya lelaki berusia 63 tahun bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami luka di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku ketika lori tangki membawa muatan 22,000 liter minyak diesel dan petrol itu dalam perjalanan dari arah Port Dickson ke Petron Masjid Tanah.

“Sebaik sampai persimpangan lampu isyarat Lebuh AMJ dekat Taman Mutiara, lori berkenaan yang berada di lorong kanan membelok ke kanan sebelum ia tiba-tiba hilang kawalan.
“Pemandunya berusia 63 tahun gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas melanggar segitiga pembahagi jalan dan terbalik menyebabkannya luka di kepala serta sakit pinggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, polis mengeluarkan saman Pol. 257 kepadanya dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
Mengulas lanjut, Ashari berkata, kemalangan juga telah mengakibatkan lorong masuk ke kiri ditutup sehingga jam 3 pagi tadi bagi kerja pembersihan tumpahan minyak dijalankan pasukan bomba.
Terdahulu, tular beberapa rakaman memaparkan detik cemas lori tangki itu terbalik di TikTok. – MalaysiaGazette