GEORGE TOWN – Pemain industri semikonduktor digesa untuk menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai tunjang utama dalam operasi mereka bagi memastikan daya saing negara dalam ekosistem global.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penerapan AI bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan dalam era pendigitalan yang semakin pesat.
Jelasnya, AI kini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan reka bentuk cip, mengoptimumkan proses fabrikasi wafer, serta memperbaiki pengurusan hasil dan pengesanan kecacatan.
“AI bukan sekadar teknologi masa depan ia sedang membentuk industri kita hari ini. Pemain industri semikonduktor mesti mengadaptasi AI dalam operasi mereka untuk terus berdaya saing di peringkat global.
“Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar AI tempatan dalam industri semikonduktor dan membangunkan ekosistem AI yang kukuh.
“Jika kita mahu menjadi hab semikonduktor global yang dipacu AI, kita bukan sahaja perlu menerima teknologi ini tetapi membangunkannya sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MSIA AI Nexus (MAIN) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah Gobind, kerajaan turut komited untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi mempercepatkan transformasi digital sektor semikonduktor dan kini sedang membantu perniagaan dalam transformasi digital melalui Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang berperanan sebagai pihak berkuasa pusat bagi memacu agenda AI negara.
“Semua pihak termasuk pemain industri semikonduktor, pembangun AI, institusi penyelidikan dan penggubal dasar untuk bekerjasama secara aktif dalam usaha mengintegrasikan AI dalam industri itu.
“Kementerian Digital melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menumpukan kepada tiga inisiatif utama bagi mempercepatkan penggunaan AI dalam industri semikonduktor dengan pihaknya akan membantu syarikat komponen MAIN menembusi pasaran global seperti Brazil dan India melalui program GAIN MDEC.
“Kami juga akan menyokong projek bukti konsep dan perintis menerusi Inisiatif Global Testbed yang menyediakan syarikat luar dengan platform untuk menguji dan membangun dan mewujudkan teknologi serta produk baharu di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama Gobind berharap negara akan melancarkan cip AI buatan Malaysia dalam tempoh dua tiga bulan seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pemain industri semikonduktor di negara ini sudah memulakan bukti konsep (POC) dalam usaha menghasilkan cip sendiri berdasarkan AI.
“Justeru, saya harap bahawa dalam dua tiga bulan ini kita boleh lihat pelancaran cip buatan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette