Hui Ying (kanan) bersama Kon Yeow mengedar 2,000 kuntum bunga sempena Hari Wanita di Pasar Chowrasta Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan komited meningkatkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja negara, selaras dengan usaha memperkasakan golongan itu dalam bidang ekonomi dan sosial.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kadar penyertaan tenaga kerja wanita dalam negara masih rendah iaitu 56 peratus berbanding lelaki sebanyak 82.9 peratus.

Bagaimanapun, jelasnya,  golongan wanita mendominasi institusi pengajian tinggi (IPT) dengan 65 peratus pelajar.

“Program ‘Returnship’ oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti turut menyokong wanita kembali ke dalam industri dengan bantuan diperlukan selain kerajaan juga sedang memperbaiki kemudahan asuhan kanak-kanak dan jagaan warga emas bagi membantu wanita mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya.

“Langkah ini dilihat bukan sahaja meningkatkan pendapatan keluarga malah merangsang potensi penggunaan dan memacu pertumbuhan ekonomi dalaman.

“Kerajaan turut menghargai sumbangan besar wanita bukan sahaja dalam sektor pekerjaan tetapi juga sebagai tunjang utama keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedar 2,000 kuntum bunga bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sempena Hari Wanita di Pasar Chowrasta di sini, hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang kini menuju ke arah masyarakat menua dengan data menunjukkan 8.5 peratus penduduk negeri itu berusia 65 tahun ke atas, melebihi purata nasional.

Jelas beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta wakil rakyat bagi mempercepat pembinaan pusat penjagaan kanak-kanak dan warga emas untuk memberi lebih banyak ruang kepada wanita kembali bekerja.

“Pemerkasaan wanita terus menjadi agenda utama kerajaan. Kita mahu memastikan mereka mempunyai peluang sama ada dalam kerjaya atau perniagaan serta sokongan yang diperlukan bagi mencapai keseimbangan antara keluarga dan pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here