ISKANDAR PUTERI – Tujuh individu termasuk lima wanita warga Myanmar ditahan selepas polis menyerbu sebuah premis yang dijadikan pusat hiburan warga asing itu di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, serbuan pukul 11 malam itu berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan sebagai pengusaha pusat hiburan bersama seorang lelaki warga Myanmar berperanan sebagai juruwang.
“Menerusi Op Noda ini, lima wanita warga asing yang ditahan itu bertindak sebagai pelayan. Mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 53 tahun.
“Hasil semakan mendapati ketujuh-tujuh suspek tidak mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah.
“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati semua suspek negatif dadah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut Kumarasan, polis turut merampas enam mikrofon, dua amplifier, dua televisyen, empat pembesar suara, tujuh kotak arak pelbagai jenama dan wang tunai RM320.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas atau permit.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil seseorang yang tidak memiliki pas yang sah untuk bekerja, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 kerana beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan import,” katanya.
Kumarasan berkata, suspek lelaki warga tempatan kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga isnin ini, manakala suspek lelaki warga Myanmar yang ditahan di bawah Seksyen 116C Akta Kastam 1967 direman selama tempoh tujuh hari bermula semalam hingga Rabu depan.
“Lima suspek wanita warga Myanmar yang ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 direman selama 14 hari bermula semalam,” jelasnya.
Pada masa sama, pihaknya akan terus komited bagi membanteras kegiatan hiburan yang tidak mematuhi undang-undang dan memberi amaran supaya pihak terbabit menghentikan aktiviti mereka. – MalaysiaGazette