GRACE Nathan bersama ibunya, Anne Daisy, salah seorang penumpang pesawat MH370. - Foto: FB Grace Subathirai Nathan

KUALA LUMPUR – Anak kepada salah seorang mangsa pesawat MH370, Grace Nathan, 37, berharap misi pencarian baharu pesawat itu dapat `menemukannya’ semula dengan ibunya, Anne Daisy.

Menerusi catatan di laman sosial Facebooknya malam tadi, Grace berkata, tidak ada sehari pun yang berlalu tanpa dia merindui ibunya itu.

Malah, katanya, pada tahun ini, iaitu genap 11 tahun kehilangan MH370, kerinduan itu lebih mendalam mungkin disebabkan buat pertama kali, dia secara fizikal dan mental tidak menguruskan majlis peringatan kehilangan pesawat tersebut.

“Maa, aku merinduimu setiap hari.

“Maafkan aku, kerana cinta dan rinduku semata-mata tidak cukup dan kami masih belum menjumpaimu sehingga kini, dan aku berharap pencarian yang bakal bermula akan menemukanmu,” katanya.

Sementara itu, menerusi catatan yang sama, Grace turut berkongsi perkembangannya hari ini iaitu selepas 11 tahun sejak menerima panggilan daripada ayahnya berhubung kehilangan pesawat MH370.

Katanya, dia kini sudah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang, mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua anak.

“Setiap perjalanan dalam hidupku hanya membuatkan kerinduanku terhadapmu semakin mendalam.

“Setiap kali aku melihat anak-anakku, aku berharap mereka dapat bertemu mu, dan kau juga dapat bertemu mereka,” katanya.

Mengimbau malam kejadian kehilangan pesawat MH370 itu pula, Grace berkata, ketika itu, dia sedang dalam pengajian akhir jurusan undang-undang di Bristol, United Kingdom (UK) dan ibunya di Kuala Lumpur, dalam penuh keterujaan bakal menaiki pesawat MH370 ke Beijing untuk bertemu bapanya.

Tambahnya, sekitar tengah hari, mereka bercakap menerusi telefon yang kemudiannya menjadi perbualan terakhir antara dia dan ibunya.

“Secara tiba-tiba dia mengatakan `I love you’, kerana rasa terkejut, aku terdiam seketika sebelum membalas, I love you too,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, selepas tengah malam, dia menerima panggilan telefon daripada bapanya dengan harapan, mendapat berita bahawa ibunya telah selamat mendarat di Beijing.

Namun, katanya, bapanya memberitahu sesuatu telah berlaku kepada pesawat yang dinaiki ibunya dan dia segera bergegas ke lapangan terbang Heathrow untuk pulang ke tanah air.

“Realiti yang menyakitkan ketika itu adalah beranggapan bahawa pesawat MH370 masih berada di udara,” katanya.

Hari ini, pada 11 tahun lalu, pesawat MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang secara misteri dan tidak dapat dikesan sehingga kini.

Pesawat itu hilang 120 batu nautika dari timur Kota Kinabalu di Laut China Selatan, dan tiada isyarat kecemasan diberikan dari pesawat Boeing 777-200ER yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam dan sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi.

Sebahagian besar penumpangnya adalah warga China iaitu seramai 153 orang, diikuti Malaysia (38); masing-masing tujuh warga Indonesia dan Australia; tiga warga Perancis dan Amerika Syarikat; dua warga New Zealand, Ukraine dan Kanada serta seorang warga Rusia, Itali, Taiwan, Holland dan Austria. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here