KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 55 tahun parah selepas dihempap runtuhan lantai tingkat satu sebuah restoran dalam kejadian di Jalan Segama, Kota Kinabalu, Sabah, malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pukul 8 malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian, didapati berlaku runtuhan simen yang telah menghempap seorang wanita di dalam premis berkenaan.
Bagaimanapun, ujarnya, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan.
“Pasukan bomba dan penyelamat kemudiannya menjalankan pemeriksaan rapi bagi memastikan tiada ancaman lain sebelum mengarahkan orang awam mengosongkan bangunan dan operasi tamat sepenuhnya pukul 9.38 malam,” katanya.
Tambahnya, operasi itu turut disertai enam anggota polis (PDRM) dan tiga anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette