KUALA LUMPUR – Kerajaan mengalu-alukan kepimpinan wanita yang berani meyuarakan pendapat yang tepat dan berkesan untuk pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaum wanita harus diberi peluang memanfaatkan ruang perbincangan terhadap erti kebebasan, demokrasi selain mengemukakan pandangan yang tepat.
Menurut beliau, demi mencapai hasrat itu, penekanan terhadap institusi kekeluargaan harus diberi keutamaan dalam kehidupan masyarakat.
“Kita perlu kepimpinan wanita yang berani menyuarakan pendapat secara tepat dan berkesan berhubung nilai kemanusiaan, ihsan dan rahmat.
“Jadi saya tekankan tentang keluarga, kerana bagi saya itu sangat penting, paksi dalam kehidupan masyarakat dan pembangunan negara,” ujar beliau.

Perdana Menteri menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Sambutan yang bertemakan `Wanita Beraspirasi Membina Legasi’ itu turut menyaksikan Pelancaran Dasar Wanita Negara dan penyampaian Anugerah KASIH Wanita.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, dalam melayani kesibukan harian, keutamaan harus diberikan kepada perubahan dunia yang semakin mencabar.
“Tetapi kadang-kadang kita lihat perilaku manusia dengan kebebasan dan keistimewaan mereka, tetapi menggunakan rumah tangga, itu bagi saya sangat mengaibkan dan menjijikkan.
“Soal pembangunan keluarga tidak harus dipinggirkan kerana kita membicarakan tentang keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan disiplin sekolah.
“Apa yang menyebabkan kita harus bertanya, di mana asas pendidikan kita? Di mana kesedaran agama kita? Apa yang diajar di sekolah dan rumah?,” ujarnya.
Menurut Perdana Menteri, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan program khusus bagi kebajikan dan pemerkasaan wanita dan mendapat komitmen menyeluruh dari pelbagai pihak.
Ujar Anwar, penglibatan kaum wanita harus ditingkatkan di universiti, pusat kecemerlangan serta industri teknologi maklumat.
Tambah Perdana Menteri, penyertaan wanita dalam program pemerkasaan dalam tempoh dua tahun ini, masih perlu diperbaiki. – MalaysiaGazette.