Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berucap pada Program Empowering Young Muslimah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 MAC 2025

KUALA LUMPUR –  Dalam dunia moden yang semakin mencabar, wanita terus berusaha mengimbangi tuntutan kerjaya, keluarga, dan identiti agama.

Beban tanggungjawab yang dipikul bukan sahaja memerlukan kecekalan, tetapi juga sistem sokongan yang lebih kuat agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih seimbang dan harmoni.

Timbalan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, wanita hari ini berhadapan dengan tekanan sosial yang tinggi untuk cemerlang dalam semua aspek kehidupan, sama ada sebagai ibu, isteri, mahupun profesional di tempat kerja

“Wanita hari ini bukan sahaja perlu berjaya dalam kerjaya tetapi dalam masa yang sama, mereka juga diharapkan menjadi ibu yang penyayang dan isteri yang sempurna. Ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi ramai yang tetap berusaha untuk melaksanakannya dengan penuh dedikasi.

“Oleh itu, perjuangan mereka memerlukan perubahan sistematik agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih seimbang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program Empowering The Young Muslimah sempena Hari Wanita Sedunia, di sini, hari ini.

Justeru, beliau berharap program seperti ini dapat memberi manfaat kepada wanita dalam membincangkan isu berkaitan kerohanian, ekonomi rumah tangga serta kepimpinan Muslimah dalam dunia moden.

“Saya percaya perkongsian daripada panel jemputan hari ini akan memberikan ilmu yang berguna kepada semua wanita hebat yang hadir. Apa yang dibincangkan hari ini, mudah-mudahan dapat memberi panduan dalam kehidupan seharian kita sebagai wanita yang berperanan besar dalam keluarga, masyarakat dan negara,” katanya. 

Program Empowering The Young Muslimah dimeriahkan dengan kehadiran barisan panel jemputan berpengaruh yang membawa pengalaman dan perspektif unik dalam dunia Muslimah moden seperti pendakwah terkenal Ustaz Mizi Wahid, ikon penghijrahan antarabangsa Ayana Moon, serta pakar Al-Quran, Ustazah Sharifah Khasif.

Turut hadir figura wanita muda berjaya seperti Erin Adlina Adnan, Nur’ Isadora Ismail dan Ayesha Syahira, masing-masing tampil dengan kisah inspirasi mengenai kepimpinan, keusahawanan dan peranan Muslimah dalam membentuk masa depan lebih gemilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here