Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wartawan Malaysiakini membuat laporan polis terhadap seorang ejen warga Pakistan yang didakwa memberinya rasuah Jumaat lalu sehingga dia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, B. Nantha Kumar menafikan meminta atau menerima rasuah daripada ejen itu, yang dinamakannya sebagai ‘Zahid’, lapor portal berita FMT.

Beliau berkata, ‘Zahid’ sebaliknya cuba menyogoknya menyebabkan dia mengambil sampul surat yang diberikan oleh ejen tersebut sebagai ‘bukti’ kewujudan sindiket pemerdagangan pekerja asing.

“Pada 28 Februari lalu kira-kira 11.10 malam, ketika saya berjumpa `Zahid’ di Hotel Concorde, Shah Alam untuk berbincang berkenaan siasatan saya berhubung sindiket Fly, dia menghulurkan sampul berwarna coklat untuk memujuk saya bekerjasama dalam sindiket itu.

“Saya ambil sampul itu sebagai bukti dia merasuah saya. Ini kerana saya diminta oleh seorang pengarah jabatan imigresen negeri untuk membantu jabatan itu mencari apa jua bukti ke atas warga Pakistan yang dicurigai terlibat dalam sindiket Fly.

“Namun sebelum saya sempat melaporkan kepada Jabatan Imigresen yang `Zahid’ merasuah saya, saya telah ditahan oleh SPRM pada waktu itu juga dan direman empat hari atas tuduhan menerima rasuah.

“Saya menafikan meminta atau menerima rasuah, sebaliknya “Zahid’ yang memberi rasuah kepada saya,” kata Nantha dalam laporan portal berita itu yang memetik laporan Malaysiakini.

Sindiket Fly merujuk kepada kegiatan pemalsuan status imigresen yang ‘membersihkan’ individu tinggal lebih masa atau disenarai hitam menerusi cop keluar masuk palsu.

Terdahulu, Nantha disiasat atas dakwaan menerima RM20,000 daripada seorang ejen pekerja asing sebagai balasan tidak menerbitkan dua artikel yang akan mendedahkan sindiket tersebut.

Dia dibebaskan Selasa lalu selepas direman selama empat hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here