KUANTAN – Seorang kakitangan Telekom Malaysia (TM) maut setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas sendiri di Kilometer (KM) 215 dekat Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) hari ini.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa yang berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Keselamatan dan Sekuriti, TM Kuala Lumpur itu maut di lokasi nahas akibat kecederaan parah.
Menurut beliau, motosikal yang ditunggang Hasrol Harun, 48, dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan dari arah Sri Jaya-Gambang, berhampiran susur keluar Gambang, dalam kejadian jam 9 pagi tadi.
”Hasil siasatan mendapati, mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.
“Apabila tiba di lokasi kejadian secara tiba-tiba motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar besi pembahagi jalan sebelah kiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan ini berlaku.
Katanya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette