Shamsul Azri bertanyakan sesuatu kepada orang ramai ketika mengadakan lawatan mengejut di UTC Kuantan, semalam. Gambar: Facebook Shamsul Azri Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mengambil tindakan segera susulan lawatan mengejut Ketua Setiausaha Negara, semalam.

Menurut Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, antara langkah segera yang telah diambil adalah menambah bilangan kerusi untuk keselesaan pengunjung yang berurusan dengan jabatan berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook, Shamsul Azri berkata, kesediaan untuk bertindak pantas dalam menangani isu yang dibangkitkan membuktikan komitmen penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Tahniah kepada semua dan sama-sama kita tambah baik sentiasa!,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial, hari ini.

Terdahulu, menerusi perkongsian di laman sosial miliknya itu, Shamsul Azri menegaskan, perkhidmatan beberapa agensi kerajaan di UTC Kuantan perlu ditambah baik bagi melancarkan urusan di kaunter, di samping memastikan isu membabitkan kepuasan pelanggan dapat diatasi.

Beliau sempat menerjah beberapa pejabat kerajaan yang beroperasi di situ antaranya JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen (JIM).

Menerusi hantaran video berdurasi 1 minit 52 saat yang dimuat naik Shamsul Azri berkata, beliau mendapati perkhidmatan di kaunter JPJ perlu ditambah baik dengan penambahan kerusi menunggu serta penambahan kaunter disebabkan kesesakan orang ramai yang datang untuk memperbaharui cukai jalan.

Menerusi rakaman itu, beliau dilihat menghubungi sendiri pihak berkaitan bagi memaklumkan masalah tersebut dan mahukan tindakan segera diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here