Gambar hiasan

ALOR SETAR- Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan seorang lelaki yang dituduh membunuh ibunya baru-baru ini, menjalani pemerhatian mental selama sebulan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah terhadap Abd Rahman Harun, 43, selepas pihak pendakwaan meminta tertuduh menjalani pemeriksaan mental terlebih dahulu sebelum sebarang pengakuan direkodkan.

Dia didakwa membunuh Isah Salleh, 68, di sebuah rumah di Kampung Bok-Bok, Mukim Derga dekat sini antara 7 pagi hingga 8 pagi pada 2 Mac lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan minimum 12 kali sebatan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh yang berkemeja-T kelabu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Majistret kemudiannya mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk penilaian bagi memastikan sama ada tertuduh mempunyai masalah mental.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Huda Diyanah Amir Hamzah, manakala tertuduh belum diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 10 April ini bagi mendapatkan status laporan penilaian mental berkenaan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here