ALOR SETAR – Trak tunda yang sedang menunda sebuah lori sarat muatan tomato terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 71.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Pendang hari ini, menyebabkan lorong di laluan berkenaan terhalang.
Ketua Polis Daerah Pendang Supt Rodzi Abu Hassan berkata Pusat Kawalan Trafik (TMC) PLUS telah memaklumkan mengenai kemalangan berkenaan kira-kira 10.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan melibatkan sebuah trak tunda dan lori. Kemalangan dipercayai berlaku semasa trak tunda sedang menunda lori berkenaan dari Changlun menghala ke Selayang, Selangor.
“Ketika sampai di tempat kejadian, kunci di bahagian bawah kepala lori tercabut dan menyebabkan trak tunda hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit di kiri jalan manakala lori tomato terbalik secara melintang dan menghalang keseluruhan lorong menghala ke selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.15 pagi, sebelum tiba di lokasi kejadian 30 minit kemudian.
“Tiada mangsa yang terlibat dan seramai enam anggota dari BBP Pendang telah melakukan operasi membersihkan tumpahan minyak akibat kemalangan itu manakala pekerja lori (tomato) membersihkan semua tomato yang bertaburan atas jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan kerja pengalihan sedang dijalankan dan kesemua lorong arah selatan ditutup, menyebabkan trafik perlahan sejauh enam kilometer.
Laluan kontra diaktifkan dari KM 70.8-KM 71.9 dan pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan mereka. – BERNAMA