Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke Selatan Thailand susulan insiden tembakan dan letupan bom di Pekan Sungai Golok dekat wilayah itu, malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan di Wilayah Narathiwat dan kawalan ketat telah dikuatkuasakan serta-merta sehingga situasi disahkan selamat.

Pada masa sama, Pasukan Gerakan Am (PGA) juga sudah diarah mempertingkatkan kawalan dan rondaan di pengkalan haram termasuk kawasan titik panas di sepanjang Sungai Golok.

“Kita telah mengarahkan semua PGA mempertingkatkan tahap kesiapsiasagaan dan rondaan di pos keselamatan serta kawasan ‘hotspot’ di sepanjang Sungai Golok bagi memastikan tidak dibolosi penjenayah.

“Selain itu, pasukan Strike Force Kompeni dan Risik Batalion turut diarahkan memantau keselamatan pos dan petugas secara 24 jam sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, Briged Tenggara dan Polis Kelantan juga akan memantau keadaan di wilayah Narathiwat dan kawalan ketat dikuatkuasakan serta merta sehingga situasi kembali selamat.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada rakyat malaysia mahupun dari Kelantan yang terbabit atau cedera dalam insiden tersebut.

Terdahulu, dalam kejadian malam tadi, dua sukarelawan pertahanan maut, manakala lapan lagi cedera dalam kejadian serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok, malam tadi.

Serangan berlaku kira-kira jam 7.10 malam waktu tempatan (8.20 malam waktu Malaysia), kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah itu berbuka puasa.

Jurucakap polis Sungai Golok berkata, insiden berlaku di sepanjang jalan Sungai Golok-Sungai Padi, berhampiran pasar raya Big C yang sering dikunjungi rakyat Malaysia.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat turut mengesahkan insiden berkenaan tidak membabitkan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here