Jalan Pimping, Beaufort dinaiki air. foto JKR Sabah

KUALA LUMPUR – Situasi banjir di Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan menunjukkan peningkatan mendadak manakala di Sarawak jumlah mangsa turut meningkat sedikit petang ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 2,785 orang daripada 907 keluarga setakat 4 petang tadi berbanding 1,748 orang daripada 570 keluarga pada 8 pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan dua PPS baharu dibuka di Beaufort, menjadikan empat PPS di daerah itu yang menempatkan 1,181 orang daripada 385 keluarga.

Selain itu, satu lagi PPS baharu dibuka di Sook menjadikan dua PPS yang menempatkan 763 orang daripada 241 keluarga manakala 705 orang daripada 231 keluarga dipindahkan ke satu PPS di Membakut, dan 136 orang daripada 50 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Keningau.

“Sebanyak 27 kampung terjejas, masing-masing 10 di Beaufort dan Membakut serta lima di Sook dan dua di Keningau. Trend pemindahan di Keningau dan Sook meningkat manakala daerah lain kekal,” menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke tiga PPS yang dibuka di pekan Trusan meningkat kepada 174 orang pada 3 petang ini berbanding 167 mangsa yang dicatatkan pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan PPS Dewan Masyarakat Trusan kini menempatkan 100 mangsa melibatkan 21 keluarga.

PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) C Chung Hwa pula menempatkan 35 mangsa daripada 15 keluarga manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang menempatkan 39 mangsa.

Timbalan Premier merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan telah melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa di tiga PPS berkenaan.

Sementara itu di Limbang, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Medamit meningkat kepada 173 orang berbanding 119 orang pada pagi tadi. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here