PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir berbuka puasa bersama-sama lebih 10,000 orang termasuk golongan agamawan dan asnaf di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin petang tadi.
Perdana Menteri yang tiba jam 7.04 petang disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Majlis berbuka puasa yang dianjurkan JAKIM dan Perbadanan Putrajaya (Ppj) serta rakan strategik itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Terdahulu, Anwar yang lengkap berbaju Melayu warna biru muda bersama hadirin hadir pada ceramah khas bertemakan ‘Ramadan Pemacu Ummah Madani’ yang disampaikan Datuk Badlishah Alauddin.
Majlis turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh kumpulan nasyid popular, Rabbani.
Anwar selepas itu solat Maghrib bersama-sama para hadirin.
Pada majlis itu, Mohd Na’im menyampaikan sumbangan kepada 120 asnaf dari Bukit Bakong, Sepang.
Mohd Na’im dalam kenyataan memaklumkan, program berbuka puasa itu bukan sekadar peluang untuk berkumpul beramai-ramai tetapi menjadi platform memupuk kesedaran masyarakat mengenai pentingnya nilai kemanusiaan dan kepedulian terhadap golongan memerlukan.
“Melalui inisiatif ini, kita dapat menggalakkan semangat ukhwah, memupuk rasa kasih sayang dan menjalin hubungan lebih erat antara rakyat dan kerajaan.
“Semoga Ramadan ini membawa keberkatan kepada seluruh umat Islam dan kita terus diberikan petunjuk untuk membina masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette