DARJAH Kebesaran, bintang dan pingat yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada mana-mana individu adalah hak baginda sebagai ketua negara.
Sebagai seorang raja yang memegang tampuk pemerintahan tertinggi di negara ini, Tuanku mempunyai kuasa penuh dalam memberikan penghormatan kepada individu yang berjasa kepada negara dan masyarakat.
Pengurniaan itu bukan sahaja memberi penghormatan kepada individu tersebut, malah ianya juga lambang pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pelbagai bidang.
Kurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat merupakan salah satu bentuk penghargaan yang diberikan atas perkenan Tuanku sendiri. Proses pengurniaan tersebut melibatkan pelbagai pertimbangan dan penelitian termasuklah jasa, sumbangan dan integriti individu yang terlibat.
Oleh itu, setiap anugerah yang diberikan adalah bukti seseorang individu itu layak dan berhak menerima penghormatan berdasarkan pencapaian serta komitmen mereka terhadap negara.
Memandangkan kurniaan itu adalah sebahagian daripada peranan dan kuasa baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, adalah tidak wajar sama sekali untuk mempersoalkan atau mempersendakan proses dan keputusan yang dibuat oleh baginda.
Malangnya, seringkali kita lihat khususnya di media sosial, rakyat yang terlalu cepat untuk menghukum atau mempersoalkan keputusan tersebut.
Antara contoh yang sering terjadi adalah apabila artis atau selebriti menerima pingat atau darjah kebesaran. Ramai yang melenting tanpa usul periksa, seolah-olah keputusan tersebut tidak wajar atau tidak adil, dan seolah-olah merekalah sebenarnya yang layak.
Begitu juga dengan anggota pentadbiran dan ahli politik. Setiap kali ada pengurniaan pingat atau darjah kebesaran kepada mereka, pasti ada suara sumbang yang mengkritik dan mempertikaikan keputusan raja.
Kadangkala perdebatan menjadi tidak terkawal dan mengundang kecaman tanpa melihat kepada keseluruhan konteks atau sebab-sebab yang mendorong kepada pengurniaan itu.
Tanpa pingat atau gelaran pun, seseorang Ahli Parlimen masih perlu bekerja dan berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira latar belakang.
Kita ambil Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil sebagai contoh.
Fahmi bukan muka baharu dalam pentas politik, dua pilihan raya berjaya dimenanginya di Parlimen Lembah Pantai walaupun terpaksa berdepan dengan calon yang dilihat lebih raksasa daripadanya.
Dengan sifat semulajadinya yang peramah dan penyabar, tidak hairanlah kenapa beliau mudah dijadikan punching bag oleh pengkritik.
Walaupun pelbagai kritikan terhadap Fahmi, bagi mereka yang berada dalam industri media khususnya banyak jasa dan bantuan yang diusahakan oleh beliau; lebih-lebih lagi bab kebajikan.
Warga media sentiasa mendapat perhatian Fahmi. Jika ada kematian atau musibah menimpa wartawan atau warga media, beliau antara yang terawal akan menghulur bantuan dan bertanya khabar.
Sebagai contoh, baru-baru ini rakan-rakan media menerima khabar duka dengan pemergian bekas wartawan Utusan Malaysia, Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar dan meninggalkan tiga orang anak yang kini yatim piatu.
Berita berkenaan sampai kepada Fahmi dan beliau segera bertemu dengan ketiga-tiga anak allahyarham bagi menghulurkan bantuan dan simpati.
Selain itu, puluhan wartawan, editor dan jurukamera yang berdepan situasi kehilangan kerja dan tidak dibayar gaji oleh majikan turut mendapat perhatian menteri.
Seperti yang disuarakan oleh seorang wartawan veteran dan bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) ketika Fahmi bertemu kumpulan pengamal media yang terjejas baru-baru ini, beliau satu-satunya menteri yang mengadakan perjumpaan seumpama itu dan benar-benar cuba membantu menyelesaikan masalah dihadapi warga media.
Pengamal media sebelum ini tidak mendapat perhatian khusus pun daripada pihak kerajaan dan tidak ada badan yang bertanggungjawab mengelola bab kebajikan mereka.
Alhamdulillah, pada 2023 sebuah Tabung Kasih@HAWANA ditubuhkan dan dikelolakan oleh BERNAMA untuk menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang menghadapi apa jua jenis kesukaran.
Inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi itu ternyata amat membantu rakan-rakan media yang berada dalam keadaan sangat memerlukan.
Bagi pengamal media, nampak perbezaan ketara berbanding pentadbiran kerajaan terdahulu bila menyentuh sudut bab kebajikan mereka. Kini dilihat lebih terurus serta sistematik.
Selain itu, terima kasih juga kepada Fahmi kerana sejarah telah tercipta baru-baru ini apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024.
Ya, akhirnya diluluskan di peringkat Dewan Rakyat selepas 52 tahun idea penubuhannya dicadangkan.
RUU itu berjaya membawa kepada penubuhan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan industri dan pengamal media.
Mungkin bagi segelintir ‘tentera siber upahan’, mudah untuk mengkritik Fahmi hanya kerana diberi gelaran “Datuk” tanpa melihat peranan dan jasanya kepada pengamal media yang semakin hari berdepan cabaran sukar sekarang ini.
Gelaran “Datuk” itu hanya satu gelaran, tapi yang penting adalah bagaimana seseorang menteri itu deliver dan lebih banyak bekerja daripada bercakap sahaja tapi kerja tidak jalan.
MUSTAFA ALI