Kedai-kedai kopi terlalu dekat di kedua-dua sisi landasan kereta api di kawasan dikenali sebagai Train Street. Foto: VNA

HANOI – Jabatan Pelancongan Hanoi meminta agensi pelancongan agar tidak menganjurkan lawatan ke jalan kereta api di wad Cua Nam, Hang Bong dan Cua Dong, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Jabatan itu juga mengarahkan agensi pelancongan meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan mereka mengenai risiko kemalangan di kawasan yang menempatkan kafe berhampiran landasan kereta api.

Selain itu, pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil langkah proaktif untuk mengesan, mencegah dan menangani pelanggaran peraturan dengan segera.

Jalan kereta api, yang menghubungkan jalan Le Duan, Tran Phu, Cua Dong dan Phung Hung, sepanjang kira-kira dua kilometer dan merupakan destinasi popular bagi pelancong untuk bersiar-siar serta mengambil gambar, terutama pada hujung minggu.

Bahagian jalan kereta api yang meliputi kawasan sepanjang kira-kira 300 meter dari Tran Phu ke Phung Hung dikenali pelancong sebagai “new train street coffee” dan menjadi tumpuan khusus pelancong asing.

Deretan kafe yang terletak bersebelahan landasan membolehkan pengunjung menikmati kopi sambil menyaksikan kereta api yang lalu. Faktor ini menarik ramai pelancong asing untuk merasai pengalaman unik itu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Rakyat daerah Hoan Kiem beberapa kali mengarahkan tindakan penguatkuasaan terhadap perniagaan yang beroperasi di kawasan itu kerana pelanggaran berulang dalam koridor keselamatan kereta api yang masih belum ditangani sepenuhnya.

Bukan sahaja penduduk tempatan dan pelancong berkumpul di sepanjang koridor landasan, malah ada yang memasuki trek kereta api, menimbulkan risiko keselamatan.

Keputusan Jabatan Pelancongan Hanoi untuk melarang lawatan ke kawasan ini dilihat sebagai langkah bagi memastikan keselamatan pelancong, mewujudkan koridor landasan yang selamat selain mengekalkan ketenteraman awam. – Bernama-VNA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here