BAITULMAQDIS – Israel mengumumkan mahu menghentikan bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza dalam usaha menekan Hamas supaya membebaskan tebusannya.
“Saya baru sahaja menandatangani arahan untuk menghentikan serta-merta bekalan elektrik ke Gaza,” kata Menteri Tenaga Israel Eli Cohen dalam satu kenyataan video.
Menurut angka Israel, 59 orang tebusan kekal dalam kurungan Hamas dan 24 daripadanya dipercayai masih hidup.
“Kami akan menggunakan semua cara yang ada untuk memastikan semua tebusan dikembalikan dan menjamin Hamas tidak akan berada di Gaza sehari selepas (perang),” tambah Cohen.
Dalam surat yang dikeluarkan secara terbuka, Cohen mengarahkan Israel Electric Corporation milik rejim itu untuk “menghentikan penjualan elektrik ke Gaza..
Jurucakap Cohen berkata, perintah itu akan berkuat kuasa segera.
Israel telah menyekat penghantaran bantuan, termasuk makanan, ke Gaza sejak 2 Mac, selepas fasa 42 hari pertama gencatan senjata Israel-Hamas tamat.
Untuk pelaksanaan gencatan senjata tiga fasa, pegawai Hamas telah berbincang dengan pegawai Mesir dan Amerika Syarikat, manakala delegasi Israel dijangka berlepas ke Doha pada hari Isnin untuk meneruskan rundingan.
Pada hari-hari pertama serangannya di Gaza sejak Oktober 2023, Israel telah memutuskan bekalan elektrik, makanan, ubat-ubatan dan bahan api ke Gaza, mewujudkan kebuluran dan krisis kemanusiaan “malapetaka” di wilayah itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Agensi