ISKANDAR PUTERI – Hanya 235 kes miskin tegar dilaporkan di seluruh Johor sehingga 3 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, berdasarkan data tersebut pihaknya yakin kerajaan negeri mampu mencapai sifar kes menjelang 25 Mac ini.
“Sebelum ini, kerajaan negeri berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar kepada sifar setakat 31 Julai lalu melibatkan 4,378 kes yang direkodkan pada Mac 2023. Ini adalah hasil gerak kerja semua pihak bagi menjayakan misi ini.
“Walaupun data miskin tegar telah mencapai sifar pada Julai lalu, namun kita memperoleh data baharu sebanyak 235 ketua isi rumah direkodkan berdepan masalah itu sehingga 3 November lalu. Ini yang perlu kita selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Taklimat Penyelarasan Pembasmian Kemiskinan Tegar dan Taklimat Program Dapur Kasih Johor 2025 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail.
Mohd Fared berkata, pihak terlibat perlu bekerja keras bagi melaksanakan gerak kerja menoktahkan miskin tegar bermula hari ini sebelum Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 25 Mac ini.
Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan hasil kerjasama kerajaan negeri, wakil rakyat, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan juga pejabat daerah seperti yang dibuktikan sebelum ini.
“Kerajaan negeri juga telah melaksanakan program khusus seperti inisiatif ‘Keluarga Angkat’ dan ‘Dapur Kasih Johor’ untuk membantu keluarga yang susah menambah pendapatan isi rumah,” katanya.
Menurutnya, kesungguhan kerajaan negeri membasmi isu tersebut dibuktikan dengan bajet untuk program Dapur Kasih Johor telah dinaikkan daripada RM3.2 juta kepada RM3.9 juta yang memberi manfaat kepada 3,261 ketua isi rumah tahun ini.
Katanya, miskin tegar adalah isu dinamik yang boleh berlaku tanpa diduga dan memerlukan pemantauan berterusan serta mengumpul data secara berkala bagi memastikan tidak ada kes berulang.
“Setiap suku tahun, kita akan kemas kini data termasuk data penerima bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Kerajaan Negeri Johor (MAINJ).
“Kita komited untuk membantu keluarga susah ini, matlamat utama kami bukan hanya untuk membasmi kemiskinan tegar tetapi untuk memastikan tiada keluarga yang kembali ke dalam kesusahan,” ujarnya.- MalaysiaGazette