ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor akan menanggung kos rawatan dan perubatan dua pelajar Universiti Mu’tah, Jordan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara terbabit, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, dua daripada pelajar Johor itu merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang Fiqh Wa Usul di universiti berkenaan.
Menurut beliau, Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurlkarnian @ Zulkarnian dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan namun masih trauma.
“Kos perubatan mereka sebanyak RM4,424.59 akan ditanggung Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Kita dimaklumkan juga kedua-dua pelajar ini merupakan pelajar persendirian.
“Kedua-dua pelajar terbabit masih berada di Hospital Al-Karak Jordan. Muhammad Zaqwan dijangka keluar dari hospital hari ini. Namun Muhammad Ilham masih menggunakan pembalut leher dan dalam pemantauan hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat pembasmian miskin tegar di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, di sini, hari ini.
Artikel berkaitan: KPT pantau rapi keadaan pelajar kemalangan di Jordan
Selangor bantu keluarga dua pelajar terlibat kemalangan di Jordan
Empat pelajar Malaysia cedera terlibat kemalangan di Jordan
Mohd Fared berkata, kemalangan membabitkan dua pelajar terbabit bersama-sama seorang pelajar dari Selangor dan Wilayah Persekutuan itu, tidak melibatkan kenderaan lain ketika kejadian.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pejabat Education Malaysia Jordan (EMJ) memantau rapat keadaan empat pelajar Malaysia yang cedera dalam kemalangan jalan raya di negara itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau dimaklumkan tiga daripada mereka berada dalam keadaan stabil manakala seorang lagi masih memerlukan perhatian rapi pihak hospital.- MalaysiaGazette