Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa untuk memberikan penjelasan mengenai keengganan gabungan tersebut yang menolak Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan.

Pengarah Komunikasi AMK PKR, Haziq Azfar berkata, adakah penolakan tersebut disebabkan Muhyiddin takut untuk mengisytiharkan hartanya.

“Adakah beliau menolak kerana tidak mahu mengisytiharkan harta? Adakah PN enggan menahan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang berbaur kebencian dan hasutan berkaitan isu bangsa dan agama?

“Persoalan-persoalan ini perlu dijawab demi kepentingan negara dan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Muhyiddin berkata, pihaknya menolak untuk menandatangani MoU berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen PN sebelum ini kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil.

Malah Muhyiddin turut berkata, dalam syarat tersebut, PN seolah-olah perlu menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk mendapatkan sejumlah peruntukan.

Mengulas mengenai itu, Haziq berkata, kenyataan yang dibuat Muhyiddin adalah dangkal dan tidak berasas.

Katanya, sekali pun PN tidak bersetuju dengan MoU, mereka seharusnya menggunakan ruang yang ada untuk mengemukakan cadangan pindaan atau terma melalui rundingan tetapi ini tidak berlaku.

“Keputusan menolak MoU tanpa alasan yang jelas dan konstruktif hanya menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar tindakan tersebut.

“Lebih menghairankan, tindakan Muhyiddin untuk menolak MoU mentah-mentah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penolakan terhadap prinsip ketelusan malah keengganan beliau untuk menandatangani MoU ini turut menimbulkan persoalan mengenai integriti dan keberanian beliau untuk bertanggungjawab terutamanya dalam soal pengisytiharan harta,” katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff berkata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijangka menerima peruntukan untuk kawasan Parlimennya berikutan kerajaan bersedia mempertimbang permohonannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here