Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pasukan pembelaan mewakili Datuk Seri Najib Razak berhubung keterangan dua saksi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) minggu lalu bersifat subjudis.

Saksi-saksi pembelaan itu ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin dan bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner  (SAC) R. Rajagopal.

Ketika membuat aduan di Mahkamah Tinggi hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, kenyataan media itu didakwa berat sebelah selain mengulas prosiding perbicaraan yang sedang berlangsung.

Ujarnya, kenyataan tersebut dimuat naik dalam laman Facebook Najib pada 5 Mac lalu iaitu hari yang sama selepas kedua-dua saksi memberi keterangan yang kemudian dibawa kepada perhatian pihak pendakwaan.

Beliau menegaskan kenyataan media itu didakwa mengandungi kesimpulan awal yang mengelirukan dan berpotensi mempengaruhi pendapat umum.

“Kenyataan tersebut memberikan pandangan berat sebelah terutamanya mengenai peranan empat individu dalam kes 1MDB.

“Keterangan saksi-saksi berkenaan sepatutnya dinilai oleh hakim bicara pada akhir perbicaraan, bukan untuk ditentukan oleh orang ramai,” ujarnya.

Ahmad Akram membangkitkan aduan tersebut sebelum mahkamah mendengar perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau selanjutnya menyatakan, kenyataan media itu meraih 8,000 tanda suka, dikongsi sebanyak 560 kali serta mendapat 468 komen.

Ujarnya, tindakan pembelaan mengeluarkan kenyataan media bukan pertama kali berlaku dan pernah mendapat teguran mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menolak dakwaan itu dengan menyatakan, kenyataan media tersebut dibuat berdasarkan fakta sepenuhnya berlandaskan keterangan kedua-dua saksi di mahkamah.

“Saya tidak faham apa aduan yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan, ia tidak mempunyai asas untuk dipertahankan.

“Dalam kenyataan itu menyatakan, Rajagopal belum selesai memberi keterangan dan akan disambung minggu ini,” ujar beliau.

Muhammad Shafee turut mempersoal pendirian pihak pendakwaan yang didakwa tidak konsisten ketika berhadapan dengan isu ulasan awam.

“Saya akan tunjukkan betapa tidak adilnya kerajaan dan dan pihak pendakwaan. Apabila kes anak guam saya dilaporkan secara berat sebelah, mereka tidak melakukan apa-apa mengenainya,” ujar beliau.

Pada peringkat itu, Ahmad Akram mencelah bahawa kes itu sudah mengambil masa hampir tujuh tahun dan ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pasukan pendakwaan.

“Kamu juga ada keluarga dan berhadapan dengan masyarakat termasuk rakan-rakan yang selalu bertanyakan mengenai kes ini.

“Bagaimana pula jika setiap kali saksi pendakwaan datang ke mahkamah dan memberi keterangan terhadap tertuduh, saya keluar dan memberi kenyataan media? Itu yang kami rasa,” ujar beliau.

Pada prosiding itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengesyorkan agar pihak pembelaan mengelak daripada membuat kenyataan jika saksi belum selesai memberi keterangan.

Mahkamah turut mahukan aku janji daripada pihak pembelaan untuk memastikan kenyataan media akan datang dibuat berdasarkan keterangan saksi secara tepat bagi mengelakkan kesimpulan awal.

Perbicaraan bersambung petang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here