KUALA LUMPUR – Kertas cadangan bagi memberikan autonomi tambahan kepada Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (C4P), dijangka dibentangkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Mei ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan tersebut kini peringkat akhir dan ia adalah sebahagian daripada usaha kementeriannya bagi mengangkat peranan, posisi serta memperkukuhkan hala tuju strategik profesion ini.
“Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang merangka satu Rang Undang-Undang baharu bagi menggantikan Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977 [Akta 180], yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama 2026.
“Kesemua langkah ini bakal memperkukuhkan kedudukan dan peranan lebih 20,000 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dalam sektor kesihatan awam, dan lebih 25,000 pengamal dalam seluruh sektor kesihatan umumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah, di sini hari ini.
Tambah Dr Dzulkefly, KKM juga melihat kemajuan positif dalam kawal selia profesion melalui program penolong pegawai perubatan pakar teknikal (AMOTeX) dan Jawatankuasa Triage Kebangsaan.
Katanya, ia bukan sahaja meningkatkan piawaian profesion PPP, tetapi juga memartabatkan profesion tersebut di peringkat nasional dan antarabangsa.
“PPR adalah pemimpin perubahan, dengan kecekapan digital dan kepakaran klinikal, PPP berada di barisan hadapan dalam merealisasikan sistem kesihatan yang lebih pintar, lebih cekap dan berkesan,” ujarnya. – MalaysiaGazette