Pembantu Perubatan bergambar pada Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan tahun 2025 di Auditorium Perdana, Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita Dan Kanak-kanak), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan pekeliling dalam waktu terdekat yang membenarkan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) mengeluarkan preskripsi ubat-ubatan asas bagi merawat penyakit ringan seperti demam, batuk, kahak dan cirit-birit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, langkah itu sebahagian usaha mengiktiraf peranan PPP yang tidak memerlukan pindaan terhadap Akta Racun 1952 dengan pelaksanaannya boleh dibuat melalui bidang kuasa Ketua Pengarah Kesihatan. 

“Ketua Pengarah Kesihatan akan keluarkan pekeliling (nanti) mengenainya. Saya melihat perkara ini sangat mustahak, misalnya PPP yang bekerja di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak, mereka (ada yang bekerja) tanpa doktor.

“Pada masa sama, tugas mereka adalah untuk menyelamatkan nyawa dan penduduk luar bandar bergantung kepada mereka (PPP) terutama bagi klinik komuniti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap pada Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan tahun 2025 di Auditorium Perdana, Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita Dan Kanak-kanak), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 MAC 2025.

Ujar Dr Dzulkefly, langkah tersebut dilihat cukup penting bagi mengiktiraf peranan PPP dan akan memberikan perlindungan kepada mereka sekiranya terdapat sebarang isu perundangan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan ketika ditemui mengesahkan pekeliling berkaitan akan dikeluarkan namun tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bergambar bersama pembantu perubatan yang hadir pada Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan tahun 2025 di Auditorium Perdana, Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita Dan Kanak-kanak), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 MAC 2025.

Dalam perkembangan berasingan, bagi meningkatkan kestabilan kerjaya, Dr Dzulkefly berkata, 774 PPP lantikan kontrak (fasa 6 dan 7) akan ditawarkan jawatan tetap pada April ini, selaras dengan komitmen kerajaan memperkukuhkan tenaga kerja sektor kesihatan.

“Bagi memastikan lebih 25,000 PPP di Malaysia terus berkembang dan memenuhi keperluan sistem kesihatan negara, KKM telah meningkatkan kapasiti latihan dan pengambilan tenaga baharu.

“Pada 2024, seramai 807 pelatih baharu telah diambil ke Institut Latihan KKM (ILKKM) sementara 426 pelatih telah direkrut bagi Sesi Pertama 2025.

“Selain itu, 283 pelajar turut mengikuti program Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan di institusi swasta, sebagai sebahagian dariada usaha negara melahirkan lebih ramai PPP berkualiti tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here