KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi larangan penjualan rokok gula-gula berbentuk peranti vape dan rokok di dalam kawasan sekolah.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan tersebut dianggap selari dengan usaha kerajaan untuk menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober tahun lalu.
“Ini bukan perkara baharu, kita sudah hadapi masalah ini sejak sekian lama dan kita menyambut baik tindakan KPM yang jelas selari dengan matlamat kita untuk memastikan kesihatan awam terpelihara.
“Tindakan akan merujuk kepada Akta 852 yang dikuatkuasakan di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 11 (larang jual produk menyerupai rokok dan vape seperti botol air bentuk vape, lipstik bentuk rokok, gula-gula bentuk rokok),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah di sini hari ini.
Semalam, KPM memberi jaminan akan memastikan gula-gula berbentuk vape tidak dijual di dalam dan luar kawasan sekolah bagi melindungi pelajar daripada ancaman kesihatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menjual produk tersebut termasuk makanan berbahaya kepada pelajar.
Tegasnya, KPM tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dengan berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengawal penjualannya di luar sekolah. – MalaysiaGazette