KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) meminta sedikit masa sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung dakwaan terdapat hospital swasta yang mengenakan caj lebih tinggi kepada pesakit yang memiliki polisi insurans berbanding pesakit yang membayar daripada poket sendiri.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, pihaknya perlu mendapatkan data dan bukti serta pengesahan daripada pihak yang terlibat sebelum membuat sebarang kesimpulan.
“Mengenai dakwaan bahawa ada perbezaan dalam harga, saya tidak dapat memberikan jawapan segera… ia mesti memerlukan pendekatan berasaskan bukti dan dipacu data.
“Saya serahkan isu kepada pasukan kami yang akan menentukan sama ada wujud percanggahan harga yang berbeza (seperti didakwa). Saya minta sedikit masa untuk mengesahkan tuntutan dakwaan ini.
“Walaupun sebelum ini APHM (Persatuan Hospitak Swasta Malaysia) menegaskan tiada kenaikan harga namun saya ambil maklum (semua dakwaan) tetapi untuk kata ya atau tidak (sama ada mahu mengesahkan atau menafikan), saya tidak boleh berikan jawapan sebelum membuat kesimpulan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berbeza, Dr Dzulkefly berkata, KKM tidak mengalami sebarang bantahan dalam melaksanakan penguatkuasaan paparan harga ubat di klinik dan hospital swasta.
Tambahnya, APHM juga tidak menolak inisiatif tersebut namun terdapat sebilangan pengawai perubatan am swasta yang meminta supaya pelaksanaan peraturan tersebut ditangguhkan seketika.
Sehubungan itu katanya, KKM bersetuju agar pelaksanaan peraturan itu ditangguhkan sehingga 1 Mei ini.
“Ada sedikit masalah yang dibangkitkan baru-baru dan kami telah adakan libat urus dengan GP (pengawai perubatan am swasta) yang memohon diberikan moratorium yang mana mereka meminta (pelaksanaan) ditangguhkan sedikit.
“Saya tahu kenapa mereka mahu saya tangani Jadual 7 dalam Akta 586. Saya mengambil komitmen untuk menyemak semula yuran konsultasi GP kerana ia sudah lama tidak disemak.
“Jadi, adillah untuk saya perjuangkan mereka ini dan dalam masa sama mereka pula bersetuju untuk memaparkan harga ubat dan rawatan,” katanya. -MalaysiaGazette