KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 bagi mengenal pasti pihak yang bertindak memalsukan kandungan, jenis dan pelabelan beras.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia termasuk  kesalahan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna.

Jelasnya, ia akan melibatkan analisa sampel beras.

“Dalam menguatkuasakan Akta 730 ini, analisa sampel beras adalah aspek yang amat penting dalam penentuan beras putih import (BPI) dan beras putih tempatan (BPT),” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Armizan mengadakan pertemuan dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mendengar taklimat berkaitan dapatan kajian isu percampuran BPI dengan BPT di pasaran.

Menurut beliau, kementerian berkenaan akan merujuk institut tersebut sebagai pihak berwibawa dalam isu berkenaan bagi ujian persampelan.

Katanya, dalam usaha berkenaan KPDN juga akan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Jabatan Kimia Malaysia.

Selain itu Armizan berkata, KPDN sedang memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) siasatan bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan berkaitan isu campuran beras.

Katanya, SOP tersebut merangkumi seluruh aspek termasuk pengurusan ekshibit sampel beras dan kebolehterimaan (admissibility) barang bukti di mahkamah.

“KPDN komited untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani isu beras campuran secara tidak sah melalui kesalahan membuat perihal dagangan palsu.

“Ini bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna dan sekali gus membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik industri padi dan beras negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here