CYBERJAYA – Golongan mahakaya di negara ini tidak lagi diberi peluang daripada tidak membayar cukai sekaligus mengurangkan kebocoran kutipan hasil negara sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dapat dilihat apabila tiada tokoh-tokoh yang berani membuat rayuan kepada beliau.
Menurut Anwar, ia menunjukkan integriti tinggi yang dipertahankan oleh pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam menjalankan tugas mereka.
“Kita tahu negara berkembang, sistem itu mantap tetapi masih ada ruang kelemahan dan kebocoran. Dan saya bangga hasil prestasi hasil menunjukkan ada semangat, dorongan, keupayaan dan pimpinan menyempurnakan tanggungjawab.
“Jangan diremehkan kerana selalunya penguat kuasa termasuk pengurusan tentu tidak ada keberanian sekiranya mereka tahu tanggungjawab disempurnakan itu tidak mendapat dukungan oleh pimpinan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-29 LHDN di Menara Hasil di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengumumkan LHDN telah mencatatkan peningkatan kutipan cukai langsung RM1.46 bilion pada 2024 daripada jumlah RM184.8 bilion berbanding RM184.805 bilion pada 2023.
Perdana Menteri turut yakin dengan memperbaiki tatakelola, mempertahankan semangat dan disiplin serta memperkenalkan instrumen baharu seperti e-Invoice, hasil negara akan melonjak tinggi pada masa akan datang.
“Saya fikir, ia lebih terurus, berstruktur dan instrumen baharu yang diperkenalkan seperti e-invois akan membantu,” katanya. – MalaysiaGazette