KUANTAN – Seorang mekanik maut setelah motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 211, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) kira-kira malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa dari arah Temerloh menghala ke Kuantan hilang kawalan di lokasi terbabit.
Beliau berkata, ia mengakibatkan penunggang motosikal itu, Irwan Kamarol Hisham Mohammad Shaarani, 42, terjatuh ke pembahagi jalan di sebelah kiri manakala motosikalnya terbabas ke tengah jalan.
Akibat kemalangan tersebut, Wan Mohd Zahari memberitahu, mangsa yang beralamat di Perumahan Balok di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sementara itu, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang seorang juruteknik Pelabuhan Kuantan yang datang dari arah belakang telah berlanggar dengan motosikal mangsa yang berada di tengah jalan,” tambahnya dalam kenyataan.
Akibat rempuhan itu, juruteknik berkenaan mengalami cedera parah dan dirawat di Zon Merah Hospital KPJ di sini.
Wan Mohd Zahari berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette