Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Debat atau perbincangan yang terlalu fokus kepada perbezaan agama berpotensi untuk mencetuskan ketegangan dan mengeruhkan hubungan antara masyarakat yang berbilang agama di Malaysia, kata Menteri Perpaduan.

Sehubungan itu, Datuk Seri Aaron Ago Dagang menasihatkan agar debat melibatkan agama antara Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Saravanan dan Zamri Vinoth tidak diteruskan.

“Saya berharap agar perdebatan melibatkan agama tidak diteruskan oleh mana-mana pihak yang terbabit khususnya yang melibatkan Datuk Seri Saravanan, Ahli Parlimen Tapah dan Zamri Vinoth.

“Saya ingin menegaskan bahawa perbincangan atau perdebatan yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya diteruskan jika ia hanya bertujuan untuk mencari perbezaan dan mengabaikan usaha untuk membina perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Aaron berkata sebarang perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat kita.

“Walaupun kita mempunyai pelbagai agama dan kepercayaan, adalah lebih utama untuk kita memberi fokus kepada titik persamaan dan nilai-nilai universal yang dapat menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron berkata terdapat platform yang telah disediakan oleh Kementerian Perpaduan iaitu Inisiatif Harmoni MADANI yang melaksanakan siri Dialog Harmoni dengan tema Faham, Hormat & Terima.

Sesi itu bagi membincangkan dan berkongsi amalan baik agama masing-masing, serta nilai persamaan yang mampu meningkatkan hubungan antara penganut agama di negara ini.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk semua pihak memanfaatkan platform Dialog HARMONI kendalian Kementerian sebagai medium untuk memperkukuh kefahaman dan menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat kita dengan mengangkat titik persamaan,” katanya lagi.

Minggu lalu, Saravanan dilapor menetapkan tarikh debat bersama Muhammad Zamri pada 23 Mac ini susulan kenyataan kontroversi pendakwah berkenaan membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.

Tambah Aahli Parlimen Tapah itu, Muhammad Zamri bebas memilih mana-mana lokasi di ibu kota untuk dijadikan acara debat tersebut.

Malah Muhammad Zamri menyahut cabaran untuk berdialog secara terbuka dengan Saravanan dan berharap ia dapat dilaksanakan secara aman serta membuka minda masyarakat.

Isu terbabit mulai timbul apabila tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu video pendek sehingga mencetuskan kontroversi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here