KUANTAN – Akibat tamak seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM300,378 selepas terjebak dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa seorang warga emas itu telah mendapat keuntungan bernilai RM20,698 daripada pelaburan namun tetap berani melabur lagi selepas itu.
Menurutnya, pada bulan November tahun lepas, mangsa seorang lelaki berumur 63 tahun telah berminat dengan pelaburan melalui laman web kripto Silegx yang dijumpai di media sosial Facebook.
”Mangsa telah melayari laman web berkenaan dan telah mendaftar akaun pengguna. Mangsa telah memasukkan wang pelaburan sebanyak 10 kali transaksi ke sembilan akaun berbeza dan hanya pernah mendapat pulangan sekali sahaja,” katanya.
Lelaki berkenaan telah buat transaksi pertama pada 25November 2024 manakala transaksi kali terakhir pada 5 Februari lalu.
Setelah mendapat pulangan pada 1 Januari lalu, mangsa masih lagi memasukkan wang pelaburan dan melihat wang pelaburan mangsa telah bertambah tidak dapat mengeluarkan wang pelaburan.
Tambahnya, mangsa juga diminta memasukkan lagi wang pelaburan jika hendak membuat pengeluaran wang keuntungan berkenaan.
”Akhirnya mangsa mengesyaki telah ditipu. Polis menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menasihati masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.
Orang ramai juga dinasihatkan sekiranya ada menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette