PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak menyebut ‘My God’ dengan nada terkejut apabila diberitahu wang RM42 juta disalurkan ke dalam akaun peribadinya.
Bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. (IPSB), Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman berkata, bekas Perdana Menteri menghubunginya melalui telefon untuk meminta kepastian sama ada beliau yang memindahkan wang berkenaan.
Menurut saksi pembelaan ke-14 (DW14), beliau berada di London, United Kingdom sewaktu Najib menelefonnya dan bertanyakan sama ada wang itu dipindahkan menerusi tiga transaksi.
Menurut Shamsul Anwar, beliau melakukan dua pemindahan wang pada 26 Disember 2014 masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM27 juta, manakala pemindahan ketiga ialah pada 10 Februari 2015, sebanyak RM10 juta.
“Daripada reaksinya melalui telefon, saya percaya Datuk Seri Najib terperanjat kerana saya dengan jelas mendengar dia menggumam dengan menyatakan ‘My God!’,” ujarnya.
Shamsul Anwar berkata, beliau mengaku memindahkan wang berkenaan namun tidak mengetahui siapa pemilik akaun AmPrivate Banking itu.
Ketika ditanya peguam Najib mengapa beliau bertindak demikian, saksi berkata dia mengikut arahan Ung Su Ling dan Dennis See (Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Projek Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).
Menurut saksi, ia amalan biasa untuk memproses pembayaran berdasarkan arahan mereka bagi melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
IPSB ialah badan amal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditubuhkan untuk kerja kebajikan sosial, yang menerima pembiayaan daripada 1MDB dan Yayasan Rakyat 1 Malaysia (YR1M).
“Oleh kerana peranan mereka dalam YR1M, saya percaya bahawa pembayaran itu untuk tujuan CSR,” ujarnya.
Shamsul Anwar yang membacakan pernyataan saksinya memberitahu, reaksi itu didengar ketika menerima panggilan daripada Najib sewaktu dalam perjalanan ke Brussels.
Saksi itu menjelaskan, jika beliau mengetahui dua akaun bank itu adalah milik Najib, beliau akan bertanya kepadanya terlebih dahulu.
Bagaimanapun selepas mengetahui bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan akaun AmPrivate Banking -1MY dan AmPrivate Banking – MY dengan nombor akaun berakhir 880 dan 906, beliau tidak membuat sebarang laporan polis.
Saksi itu berkata, dia telah mengambil tanggungjawab sendiri untuk menyemak secara dalaman dengan Jabatan Kewangan IPSB mengenai siapa pemilik akaun bank itu tetapi usaha itu sia-sia.
Katanya, beliau juga cuba membuat pengesahan dengan Su Ling melalui telefon dan secara peribadi beberapa kali, namun Su Ling tidak mendedahkan maklumat itu kepadanya.
“Saya juga bertanya kepada See soalan yang sama tetapi dia beritahu, saya tidak perlu mengetahui butiran pemegang akaun AmPrivate Banking-1 MY dan AmPrivate Banking-MY,” katanya.
Terdahulu, Shamsul Anwar berkata, IPSB menerima geran setiap tahun untuk melaksanakan program CSR bagi 1MDB yang diterimanya daripada dua yayasan iaitu Yayasan 1MDB (YIMDB) dan YRIM.
Shamsul Anwar yang disoal peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau menerima arahan untuk melakukan pemindahan wang melalui e-mel daripada Su Ling disusuli dengan arahan daripada See untuk memastikan ia dilaksanakan.
Ketika disoal Muhammad Shafee mengapa beliau mengikut arahan untuk memindahkan wang itu, Dr Shamsul Anwar berkata, arahan itu datang daripada Su Ling dan See dari YR1M, yang merupakan pembiaya IPSB.
Dr Shamsul Anwar memberikan keterangan pada perbicaraan membabitkan Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Prosiding di hadapan Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok. – MalaysiaGazette