JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor mengeluarkan 482 keping saman dalam Op Mabuk Khas yang dilakukan seluruh daerah dari Jumaat hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, saman yang dikeluarkan dalam operasi serentak berkenaan melibatkan 268 keping atas pelbagai kesalahan.
“Pengabaian isyarat lalu lintas menunjukkan statistik saman tertinggi iaitu berjumlah 79 keping saman.
“Ini diikuti kesalahan tiada nombor pendaftaran dan tidak ikut spesifikasi dan berjumlah 68 keping serta kesalahan halang lalu lintas membabitkan 67 keping.
“Dalam operasi tersebut JSPT Johor menahan 28 warga tempatan berusia 24 hingga 70 tahun dan disiasat bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, operasi tersebut akan dijalankan secara berterusan bagi memberi impak kesedaran serta mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan.
Tegas beliau, tiada kompromi bagi mana-mana individu yang jelas secara cuai melanggar peraturan dan undang-undang dengan hukuman berat dan setimpal.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Anggota polis melakukan ujian pernafasan dalam Ops Mabuk Khas secara serentak di seluruh Johor dari Jumaat hingga semalam.