KUALA LUMPUR – Peguam Negara dan pihak polis perlu bertindak tegas dan pantas dalam menangani isu penghinaan agama dalam negara.
Menteri Digital, Gobind Deo Singh berkata, ini kerana meskipun telah diingatkan beberapa kali namun beberapa individu masih degil mengulangi perbuatan sedemikian.
“Kita tidak boleh, dan tidak harus, membiarkan kenyataan yang menghina agama dibiarkan tanpa tindakan yang sewajarnya.
“Terdapat peruntukan undang-undang untuk menangani situasi seperti ini,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu katanya, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap yang bertindak menghasut dan mencetuskan kebencian agama dan perkauman.
Mengulas lanjut Gobind berkata, peruntukan undang-undang tidak akan bermakna sekiranya tidak dikuatkuasakan.
“Tindakan mesti diambil untuk menyampaikan mesej yang jelas bahawa kita tidak akan bertoleransi terhadap penghinaan terhadap mana-mana agama, dan bahawa ada akibat terhadap tindakan sedemikian,” tambahnya.
Terdahulu katanya, perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Dalam masa yang sama Gobind berkata, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah menegaskan mengenai kepentingan dan keperluan segera menangani isu tersebut.
“Laporan polis telah dibuat, dan saya dimaklumkan bahawa kenyataan telah diambil daripada pelbagai individu,” ujarnya.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang memburu individu berkenaan kerana menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah melampau menerusi satu video berdurasi tiga minit 49 saat yang tular di laman sosial Facebook.
Katanya, siasatan pada masa ini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, sejurus laporan polis dibuat termasuk usaha mengesan lelaki terbabit yang berkemungkinan berada di luar negara.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.
Namun hari ini, pemilik akaun ‘Vijayan Savarinathan’ memuatnaik satu video memohon maaf secara terbuka setelah menghina agama Islam.
Individu berkenaan turut mengakui memuatnaik vidoe berkenaan ketika marah terhadap penularan video melibatkan penyampai sebuah stesen radio yang sebelum ini didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu.
Sebelum ini penyampai radio tempatan, EraFM didakwa memperlekehkan tarian hindu. – MalaysiaGazette