KUALA LUMPUR – Pengurusan Pasar Raya KK Super Mart mengambil tindakan sewajarnya kepada kakitangannya yang terlibat dalam tindakan kejam terhadap seekor haiwan di luar premisnya di Perak.
Dalam kenyataannya semalam, KK Mart juga akan menjalankan siasatan dalaman di Perak dan di ibu pejabat di Kuala Lumpur.
“Kakitangan yang bertanggungjawab telah dipanggil semula ke ibu pejabat dan setelah semakan, kontraknya ditamatkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan awamnya itu.
Selain itu, KK Mart juga menghubungi pemilik pusat penjagaan haiwan dan bersedia untuk menanggung kos rawatan perubatan haiwan tersebut.
“Kami komited untuk mengekalkan tanggungjawab dan amalan perniagaan yang beretika serta akan terus berusaha dalam memelihara kepercayaan pelanggan dan komuniti secara keseluruhannya,” katanya.
Sebelum itu dilaporkan berlaku kejadian penganiayaan binatang melibatkan kakitangannya di KK Super Mart, Jalan Besar, Menglembu, Perak di mana berlaku tindakan menyimbah air panas kepada seekor anjing di luar premisnya.
Kejadian itu tular pada Sabtu selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut dimuat naik di laman sosial Facebook Fauziah Paws Care.Menerusi rakaman itu, individu berkenaan dilihat mengisi air dari mesin pemanas ke dalam cawan sebelum menyimbah ke arah anjing yang berada di pintu masuk premis.
Tindakan individu tersebut mendapat kritikan netizen yang menyifatkan ia sebagai kejam dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Menglembu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Saji dan Abdul Sukor ketika dihubungi media memaklumkan satu kenyataan media berkaitan insiden itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette