KUALA LUMPUR – Pemilik akaun ‘Vijayan Savarinathan’ memuatnaik satu video memohon maaf secara terbuka setelah menghina agama Islam.
Individu berkenaan turut mengakui memuatnaik vidoe berkenaan ketika marah terhadap penularan video melibatkan penyampai sebuah stesen radio yang sebelum ini didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu.
“Saya minta maaf ikhlas daripada hati saya, apa yang saya buat dan saya cakap memang tidak patut. Sebab mereka (penyampai sebuah stesen radio) buat video itu saya pun marah dan tidak boleh tahan sebab kita kena hina tapi itu bukan alasan untuk saya buat video begitu,” katanya di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang memburu individu berkenaan kerana menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah melampau menerusi satu video berdurasi tiga minit 49 saat yang tular di laman sosial Facebook.
Jelas Razarudin, siasatan pada masa ini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, sejurus laporan polis dibuat termasuk usaha mengesan lelaki terbabit yang berkemungkinan berada di luar negara.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan. – MalaysiaGazette